Friday, May 14, 2021

DASAR MBMMBI (Menilai Pelaksanaan & Pencapaian)

 

DASAR- DASAR DAN HALA TUJU PENDIDKAN ( menilai pelaksanaan satu (1) dasar Pendidikan di Malaysia dari aspek pelaksanaan dan pencapaian).

ASSALAMUALAIKUM W.B.T.

Penulisan saya pada kali ini adalah mengenai Pelaksanaan satu dasar Pendidikan di Malaysia dari aspek pelaksanan dan pencapaian. Pelaksanaan tersebut adalah yang dinamakan sebagai DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI). Saya akan menerangkan serba sedikit mengenai pelaksanaan ini dan menilainya.

Jadi mari kita tahu secara terperinci tentang MBMMBI.

Apa itu MBMMBI?

Pelaksanaan dasar MBMMBI yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2011 berikutan pemansuhan dasar PPSMI secara beransur-ansur mulai 2011 dan berakhir sepenuhnya pada tahun 2014 adalah bertujuan untuk melahirkan generasi warga Malaysia yang fasih dan yakin menggunakan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Dasar ini juga bertujuan untuk memupuk perpaduan, bahasa komunikasi utama dan bahasa ilmu.

 

Bagaimanakah MBMMBI dibentuk?

MBMMBI dibentuk dengan mengadakan program Latihan dan peningkatan profesionalisme guru bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Seterusnya guru Bahasa Inggeris dilatih bagi meningkatkan profesionalisme guru serta dibekalkan dengan kemahiran selaras dengan pembangunan Pendidikan nasional.

 

Apakah objektif MBMMBI?

·       Penerokaan ilmu

·       Pengisiannya dalam bidang kerjaya

·       Menggunakannya untuk sebarang urusan rasmi

·       Melahirkan generasi yang berkeyakinan untuk bertutur dan mempraktikkan penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris standard dalam perbualan.

 

 

 

Bagaimanakah objektif dasar MBMMBI dapat dilaksana dan dicapai?

Objektif MBMMBI ini dilaksanakan dan dicapai dengan amalan pendidikan di sekolah. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris adalah subjek yang wajib untuk semua pelajar mempelajarinya di sekolah. Seterusnya, proses pengajaran dan pembelajaran dalam semua matapelajaran adalah dalam Bahasa Melayu dan sebahagiannya digunakan dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, dengan dasar MBMMBI ini semua pelajar akan menjadi fasih dan yakin dalam penggunaan Bahasa Malaysia kerana ianya dipupuk melalui menjadikannya sebagai bahasa pengantar utama dalam pendidikan. Menerusi penekanan dalam penggunaan Bahasa Inggeris pula, dilihatbdapat membantu generasi baru bersaing pada peringkat antarabangsa serta menguasai pemindahan teknologi dan maklumat. Pengukuhan Bahasa ini pada peringkat awal persekolahan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan dan penggunaannya dalam bidang lain, termasuklah undang-undang , penyiaran dan pelbagai sektpr lain. Akhir sekali, pembudayaan Bahasa Malaysia dan penguasaan Bahasa Inggeris yang bermula pada peringkat sekolah juga menjurus kepada pencapaian matlamat membentuk perpaduan kebangsaan untuk pembangunan ekonomi negara sebagai satu kuasa baru dalam dunia global yang dinamik dan mebcabar.

 

MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI) PENGENALAN

 Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bermaksud mengangkat martabat bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Tujuan utama Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) adalah untuk mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa. Tujuan utama Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBI) adalah supaya bahasa komunikasi antarabangsa ini dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global. Matlamat MBMMBI adalah untuk melahirkan murid yang fasih dan yakin menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Penguasaan murid dalam kedua-dua bahasa tersebut diharapkan berada pada tahap tinggi. Penguasaan bahasa ialah penguasaan secara sistematik, iaitu penguasaan bahasa secara keseluruhan bukannya setakat penguasaan lisan sahaja.

 PERNYATAAN DASAR

Memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah. Memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia (BM) dan bahasa Inggeris (BI) dengan fasih dan betul.

 

 STRATEGI PELAKSANAAN

1) Mengangkat martabat BM dengan menggunakannya secara meluas dan berkesan sebagai bahasa ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah.

 DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN Memperuntukkan tambahan waktu pengajaran dan pembelajaran BM dan BI di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah. Peruntukan waktu BM bagi sekolah jenis kebangsaan adalah antara 30 minit hingga 90 minit. Peruntukan waktu pengajaran BI di sekolah kebangsaan ditambah antara 60 minit hingga 90 minit seminggu. Peruntukan waktu pengajaran dan pembelajaran BI di sekolah jenis kebangsaan ditambah antara 30 minit hingga 90 minit seminggu. Peruntukan waktu BI bagi Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima ditambah sebanyak 40 minit seminggu. Memperkukuh penguasaan asas kemahiran berbahasa murid melalui pendekatan kurikulum modular yang bersepadu, seimbang dan holistik. Pendekatan ini dilakukan melalui modul pengajaran dan pembelajaran yang memberi tumpuan kepada perkara asas berbahasa, didik hibur, apresiasi bahasa melalui Modul Seni Bahasa dan Modul Tatabahasa yang memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran secara bersepadu berasaskan sistem bahasa. Aktiviti ini disokong dengan bahan bacaan estetika seperti sastera kontemporari kanak-kanak, bahan program awal berstruktur dan bacaan ekstensif yang mendedahkan murid kepada bahan bacaan yang indah dan berkualiti. Memastikan BM dan BI diajarkan oleh guru mengikut opsyen sepenuhnya. Sementara guru bukan opsyen BM dan BI akan ditempatkan semula mengikut keperluan opsyen di sekolah. Guru-guru bukan opsyen juga akan diberikan kursus tambah opsyen. Meningkatkan kapasiti guru melalui pelaksanaan latihan guru praperkhidmatan dan latihan dalam perkhidmatan. Menggunakan khidmat penutur jati BI sebagai jurulatih utama kepada pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan guru di sekolah. Di samping itu perkhidmatan guru BI yang telah bersara diambil secara kontrak bagi menampung kekurangan guru BI. Memperluas perkongsian dan jaringan guru hingga ke peringkat global sebagai satu mekanisme guru berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang pengajaran dan pembelajaran yang terkini dan berkesan melalui forum/seminar/persidangan antarabangsa. Memperluas integrasi TMK dalam pengajaran dan pembelajaran BM dan BI. Menaik taraf makmal komputer sekolah dengan perkakasan dan perisian TMK supaya boleh berfungsi sebagai makmal bahasa.

 DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN Meningkatkan penguasaan BM dan BI murid melalui program peningkatan minat dan penyertaan murid dalam aktiviti bahasa. Penyertaan menyeluruh murid dalam aktiviti pengucapan awam seperti ucapan, syarahan, pidato, choral speaking, perbahasan dan kepengacaraan. Memartabatkan sepuluh buah IPGM sedia ada sebagai Pusat Kecemerlangan Bahasa Malaysia (PKBM) dan Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris (PKBI) bagi latihan dan kursus praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan. Lima buah PKBM ialah IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur; IPG Kampus Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang; IPG Kampus Tun Abdul Razak, Sarawak; IPG Kampus Ipoh, Perak dan IPGM Kampus Kent, Sabah. Manakala lima buah PKBI ialah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu; IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak; IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah; IPG Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur dan English Language Teaching Centre, Kuala Lumpur. Memantapkan kerjasama pintar dengan agensi luar dalam meningkatkan bilangan program atau aktiviti bahasa yang menarik.


 Kemahiran Dwibahasa

Setiap kanak-kanak menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa komunikasi antarabangsa. Setiap kanak-kanak juga berpeluang mempelajari bahasa tambahan. Kepelbagaian kaum Malaysia yang unik dan warisan berbilang budaya memberikan kelebihan daya saing kepada semua. Oleh itu, dalam jangka masa tertentu, semua murid dari semua kumpulan etnik dan komuniti digalakkan untuk belajar sekurang-kurangnya tiga bahasa (bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa lain seperti bahasa Mandarin, bahasa Tamil, dan bahasa Arab, serta bahasa ibunda lain seperti bahasa Iban dan bahasa Kadazan Dusun) bagi membolehkan mereka bekerjasama dan berkomunikasi secara berkesan dengan rakan dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga negara jiran dalam dunia global masa kini.

 

Sekarang kita akan masuk pula kepada apakah pencapaian yang negara dapat berdasarkan dasar MBMMBI ini?

Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita haruslah menjadi seorang yang berilmu dalam semua bidang samaada dari segi akademik, kemahiran, sahsiah peribadi dan sebagainya. Dengan penguasaan ilmu yang baik dalam setiap kalangan rakyat Malaysia, maka kita akan mendapatkan begitu banyak manfaat. Negara luar juga akan memandang tinggi kepada rakyat Malaysia.

“Menuntut ilmu dan mengabdi kepada rakyat bukanlah dua perkara yang sepantas-pantasnya dipisahkan”

Jadi semua rakyat Malaysia haruslah mempunyai kesedaran yang mendalam mengenai pentingya menuntut ilmu.

Disini, saya ingin membincangkan pentingnya kita menguasai Bahasa Malaysia sebagai Bahasa ibunda dan sekurang-kurangnya kita menguasai Bahasa kedua yang secara amnya ialah Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu berdasarkan pelaksanaan dasar MBMMBI yang sedang dibincangkan.

 

Memartabatkan BM bermaksud meletakkan BM pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. BM merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Jadi dengan dasar MBMMBI diwujudkan, banyak manfaat yang dapat dicapai untuk menjadikan negara Malaysia lebih maju dan berjaya. Profesional negara perlu cemerlang dalam bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi. Sekiranya mereka tidak mahir berkomunikasi dalam bahasa Melayu, masalah komunikasi dalam pelbagai aspek secara efektif mulai daripada peringkat bawah hingga atas, akan terganggu dan memberi impak merugikan secara berpanjangan kepada rakyat dan negara.

Setiap warganegara Malaysia yang menetap dan mengaku dirinya rakyat Malaysia mesti menguasai dan boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu. Seseorang yang mengaku dirinya warga Malaysia mesti secara ikhlas dan jujur menyanjung tinggi penghormatan sebagai seorang rakyat Malaysia kerana di sinilah bumi dipijak. Jangan kerana segelintir permintaan dan tuntutan, maka kita korbankan bahasa. Elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai 'Bahasa Jiwa Bangsa' dan bahasa penyatuan perlu ada dalam setiap sanubari rakyat. Bahasa Melayu mesti dimartabatkan dan menjadi penyatu kepada rakyat yang berbilang agama, kaum dan budaya di negara tercinta, Malaysia.

Bahasa Inggeris penting kerana bahasa ini merupakan bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat dapat memperoleh maklumat-maklumat yang terkini supaya masyarakat tidak menjadi katak di bawah tempurung dengan syarat masyarakat dapat menguasai bahasa Inggeris. Malahan, mereka juga dapat memahami isi-isi tersurat yang dipaparkan dalam maklumat antarabangsa yang disalurkan melalui satelit ataupun media massa seperti radio, televisyen, dan surat khabar. Lebih-lebih lagi pada zaman teknologi maklumat ini, banyak alat teknologi yang canggih telah dicipta untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan dunia luar seperti internet tambahan pula, bahasa Inggerislah yang terungkap dalam laman web. Jadi, bahasa Inggeris haruslah dipandang berat kerana bahasa ini ialah bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet.

Bahasa Inggeris ialah bahasa antarabnagsa yang sangat mustahak untuk berhubung dengan bangsa lain, baik dengan masyarakat tempatan mahupun dengan masyarakat dunia luar. Walaupun bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara namun bahasa Inggeris amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa Inggeris membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara tidak langsungnya mempercepat pembangunan negara. Di samping itu, kemajuan hanya dicapai dengan lebih cepat sekiranya komunikasi dalam bahasa Inggeris berjalan dengan lancar dengan negara-negara maju. Dengan ini, kecemerlangan seseorang individu bergantung pada tahap penguasaan bahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan bidang perniagaan.

Disediakan oleh: `Ainaa Nursafwanah Bt Shamsul Akmar (D20202096858)

Thursday, May 13, 2021

Kepentingan Dasar Pendidikan Terhadap Pembangunan Pendidikan

 Pengenalan

Dari era dasar pembangunan nasional hingga era kebijakan visi nasional, kemajuan besar telah dicapai dalam pembangunan pendidikan, terutama dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan guru. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai matlamatnya. Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan akan sentiasa peka dan prihatin terhadap perubahan yang telah berlaku untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan menghasilkan modal insan yang boleh dicontohi.

Dasar pendidikan kebangsaan biasanya dirumuskan di peringkat pusat oleh kabinet pemerintah dan Kementerian Pendidikan melalui sistem panitia. Perumusan dasar terpusat adalah untuk memastikan bahawa sistem pendidikan beroperasi secara serentak, komprehensif dan seragam. Dasar pendidikan adalah media khas yang merangkumi idealisme, falsafah, tujuan dan objektif pendidikan negara. Dasar pendidikan utama negara mengambil kira kepelbagaian atau perubahan budaya, etnik dan lokasi geografi. Ini kerana diharapkan semua usaha dalam pendidikan bertujuan untuk mencapai integrasi nasional.

Dasar pendidikan di negara ini dinyatakan dengan jelas.Ada peruntukan undang-undang dan laporan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh pemerintah. Dasar pendidikan yang dirumuskan memfokuskan pada semua aspek dan komponen sistem pendidikan, yang meliputi tingkat pendidikan formal, pendidikan, kurikulum, pentadbiran, penyertaan dan pengedaran infrastruktur dan sumber daya. Perincian dasar tersebut adalah untuk memastikan bahawa prinsip demokrasi, kesaksamaan dan kesejagatan dalam pendidikan diperkukuhkan

Bagi setiap negara yang telah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek penting yang dititikberatkan dalam mengejar negara maju dan membangun dari segi politik, ekonomi dan sosial adalah penekanan untuk menerapkan sistem pendidikan kebangsaan. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di negara ini penting bukan hanya kerana fungsi penyayang dan sosialisasi, yang terdiri dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi orang yang berjaya dan mengetahui budaya dan persekitaran, tetapi juga dapat digunakan sebagai alat untuk menyebarkan ideologi nasional . masyarakat dengan menerapkan pemahaman dan nilai - nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan pelajar.

Di Malaysia, dasar pendidikan merupakan peranan yang tinggi untuk menentukan hala tuju sistem pendidikan negara, yang dasar ini dikenali sebagai ‘Dasar Pendidikan Kebangsaan'.

Pada tahun 1957,di negara ini Dasar Pendidikan Kebangsaan mula dilaksanakan.Secara umumnya,terdapat 3 tujuan utama yang terdapat  dalam dasar Pendidikan kebangsaan ini. Mewujudkan satu sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik adalah merupakan tujuan dasar pendidikan yang pertama. Kedua, untuk menghasilkan pelajar yang beretika disiplin serta mematuhi dan menghormati kedua ibu bapa berdasarkan prinsip sejajar dengan dasar dan polisi pendidikan untuk mengadakan suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang cekap dan efisien sesuai dengan keperluan untuk mengelakkan perbelanjaan awam yang tidak tersusun secara sistematik.Dasar ini adalah dilaksanakan dengan berkesan khususnya dalam menentukan perkembangan sistem pendidikan yang progresif dan bahasa kebangsaan dijadikan sebagai bahasa pengantar yang utama.

 

Kepentingan dasar pendidikan terhadap pembangunan pendidikan

Dasar Pendidikan Wajib merupakan suatu dasar yang menjelaskan bahawa semua ibu bapa hendaklah menghantar anak mereka ke sekolah pada peringkat rendah.Hal ini sangat penting agar membawa perubahan dalam pelbagai aspek pada masa depan.

Antara kepentingan dasar pendidikan wajib kepada pembangunan Pendidikan ialah dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu.Salah satu dasar Pendidikan ialah Bahasa Melayu dijadikan sebagai Bahasa pengantar utama.Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang  diwujudkan kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa. Semua kaum mempunyai budaya yang tersendiri. Kepelbagaian ini kalau tidak ditangani dengan berhati-hati dan segera akan menimbulkan pelbagai permasalahan yang wujud di negara ini.Maka kepentingan bahasa Melayu secara umumnya adalah sebagai,sebagai bahasa perpaduan, bahasa kebangsaan,sebagai bahasa rasmi sebagai bahasa pengantar,sebagai bahasa ilmu dan sebagai bahasa komunikasi.

Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang terkini akan tetap terus kekal berfungsi sebagai bahasa untuk menimba ilmu dari peringkat akar umbi hinggalah ke menara gading. Bahasa Melayu mampu menjadi suatu medium bagi penyampaian suatu ilmu pengetahuan moden yang berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan selaras dengan bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal-hal yang baharu dalam aneka bidang ilmu terkini.Faktor utama yang menjadi pokok tunjang ke arah pembentukan sistem pendidikan negara selepas mencapai kemerdekaan ialah ‘Perpaduan’. Bahasa Melayu dapat menjadi agen perhubungan bagi mengeratkan lagi perpaduan kaum di negara ini dengan lebih mantap sekiranya murid dan pelajar dapat menguasai Bahasa.

Selain itu,pendidikan juga merupakan satu jambatan kepada kemajuan sesebuah negara Dasar Pendidikan merupakan suatu strategi dalam mencapai peningkatkan mutu pendidikan secara keseluruhannya dengan menyediakan Pendidikan mencakupi segala aspek yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu setaraf negara maju.Pendidikan menjadi suatu kunci masa depan.Salah satu langkah bagi meningkatkan mutu pendidikan ialah dengan memantapkan pentadbiran  dan pengurusan sekolah dengan mengamalkan budaya kerja cemerlang, mempunyai perancangan yang berfokus serta perhubungan awam yang dinamik.Pendidikan yang baik setaraf dengan mutu pendidikan negara maju merupakan pendidikan berkualiti sangat penting bagi kemajuan sesebuah negara.Tanpa ilmu pengetahuan yang seimbang,usaha untuk memajukan sistem pendidikan adalah sangat sukar dan menjejaskan segala rancangan dan  kemajuan pembangunan pendidikan yang telah dirancang.

Melalui dasar pendidikan juga dapat mengurangkan jurang perbezaan di antara golongan kaya dengan miskin dengan mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian yang khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman.Oleh itu,pengurusan sesebuah sekolah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan amat penting. Dari itu, sekolah sebagai sebuah organisasi bertunjangkan pada suatu arah untuk mencapai matlamat yang dirancangkannya. Dalam kata-kata lain sekolah mempunyai suatu tujuan,matlamat dan hasrat yang hendak dicapainya. Pembentukan matlamat ini merupakan suatu kriteria utama yang perlu diwujudkan dalam sesebuah organisasi sekolah.Dasar hendaklah dibentuk dengan baik dan tersusun kerana ia merupakan suatu asas yang kukuh terhadap pengurusan yang berkesan.Institusi yang cemerlang ini juga diharapkan dapat menjadi tapak untuk merintis pendekatan dan perubahan baru yang hendak dilaksanakan dalam sistem Pendidikan pada masa akan datang.

Dasar Pendidikan sangat berperanan dalam membentuk disiplin para pelajar melalui galakan aktiviti kokurikulum. Matlamat utama pelaksanaan kokurikulum dalam pendidikan ialah untuk mencapai visi merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Aktiviti kokurikulum yang dirancang juga dapat mengembangkan potensi, bakat dan kinta murid dalam pelbagai aktiviti beruniform, kelab, persatuan dan sukan. Kokurikulum perlu diterapkan nilai-nilai murni melalui perkembangan diri inidividu ke dalam diri murid-murid. Nilai-nilai murni yang disisipkan melalui mata pelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran dapat dikukuhkan lagi melalui kegiatan kokurikulum. Pengalaman menjalankan aktiviti kokurikulum akan meluaskan daya fikir ketahanan dan pengetahuan murid serta melahirkan kematangan fizikal, intelek, emosi, sosial dan nilai-nilai murni dalam kalangan murid.

Bahasa ibunda merupakan bahasa pertama yang dipelajari oleh manusia ketika mula mengenal dunia sewaktu dilahirkan.Bahasa Melayu seharusnya dijadikan sebagai bahasa utama yang menjadi lambang dan jati diri sebagai rakyat Malaysia bagi warganegara Malaysia.Penggunaan bahasa Melayu secara inklusif dalam Pendidikan seharusnya diberi perhatian yang serius dan peka,bukan sahaja oleh pihak kerajaan dan pihak sekolah bahkan pihak institusi pengajian tinggi,sebaliknya juga seluruh warga Malaysia yang juga seharusnya memberikan kerjasama yang serius dalam menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan di negara ini.

Dalam menuju ke arah pendidik dan pendidikan bertaraf dunia sesuai dengan dasar Pendidikan.Setiap lapisan masyarakat mahupun individu hendaklah memainkan peranan masing-masing.Kita perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan dan merealisasikan wawasan negara demi melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, kreatif, progresif, berakhlak mulia bertanggungjawab dan inovatif, selaras dengan falsafah pendidikan negara.Sebagai golongan bukan pendidik, kita janganlah meletakkan seluruh tanggungjawab ini hanya kepada golongan pendidik sahaja, tetapi haruslah memberikan komitmen yang menyeluruh dan bersepadu.

Dari Nuramalia Nasuha Binti Suhaimi (D20202096856)

Wednesday, May 12, 2021

Dasar Pendidikan, Hubungan dan Kepentingannya Ke Arah Pemantapan Perkembangan Pendidikan di Malaysia (KPF 3012) (GROUP B)(KUMP 6)


 

Hubungkait Di Antara Falsafah Pendidikan, Dasar Pendidikan dan Sistem Pendidikan Ke arah Pemantapan Perkembangan Pendidikan di Malaysia

 

Berikut merupakan komponen-komponen yang berada di dalam bidang pendidikan dan definisinya :- 

 

Komponen

Definisi

Falsafah

Berasal dari perkataan Yunani iaitu Philosphia yang merupakan gabungan antara elemen Philos (Cinta) dan Sophia (Bijaksana), maka terjadilah maksudnya = Cinta akan Kebijaksanaan .Falsafah juga adalah ibu kepada semua ilmu pengetahuan,tanpa falsafah maka sesuatu ilmu itu dianggap tidak lengkap. 

 

Pendidikan

Usaha sistematik yang disengajakan,yang dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, usaha memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia.

 

Falsafah Pendidikan

Suatu proses yang mempunyaidua hujung yang saling berkait iaitu mendidik dan pendidik. Pendidik (guru-guru) mempunyai falsafah yang tersendiri melaksanakan proses mendidik untuk mencari kebenaran, kenyataan dan kebijaksanaan untuk disampaikan kepada yang dididik.

 

Dasar Pendidikan

Formulasi idea-idea sebagai suatu garis panduan untuk tindakan. Dalam pendidikan, dasar-dasar yang dibina menjadi panduan ke arah mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Pelaksanaan sesuatu dasar pendidikan melibatkan aspek perundangan yang telah disahkan.

 

Sistem Pendidikan

Sistem Pendidikan mempunyaidan mengandungi banyak komponen yang saling berinteraksi. Sistem pendidikan yang berjaya ialah apabila semua komponen saling bergabung dan menyokong antara satu sama lain. Sistem yang sedang bergerak tidak boleh diganggu kerana boleh menyebabkan sistem yang sedang beroperasi mengalami kerosakan dan kemusnahan Sistem pendidikan perlu sentiasa diberi perhatian dan ditambahbaik agar sentiasa dapat bergerak dengan lancar ke arah mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

 

 

 

Seterusnya kita akan melihat pula kepada Hubungkait Di Antara Falsafah Pendidikan, Dasar Pendidikan dan Sistem Pendidikan ini Ke arah Pemantapan Perkembangan Pendidikan di Malaysia :-

 

 

        Berdasarkan komponen-komponen di atas dalam bidang pendididkan ini, masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri.Namun Masing-masing komponen tersebut juga saling melengkapi dan berkait rapat untuk menjamin keberkesanan sistem pendidikan di negara Malaysia ini. Hubungkait antara komponen falsafah, pendidikan, falsafah pendidikan, dasar pendidikan dan sistem pendidikan ini juga akan menjadikan pendidikan di negara ini lebih sistematik., saling berkait dan melengkapi satu sama lain dalam mencapai matlamat yang ingin dituju.

 

         Komponen yang pertama merupakan Komponen falsafah yang menjadi satu asas kepada semua ilmu yang ada di dunia ini. Komponen falsafah dalam pendidikan ini juga merupakan hasil pemikiran yang mempertimbangkan pelbagai persoalan dan dari pelbagai sudut serta melihat gambaran besar yang menyentuh persoalan itu. Hal ini dapat dilihat pada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan kepada usaha untuk memperkembangkan potensi seseorang individu itu secara menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan dapat difahami dengan lebih tertib dengan akronim (IREJ).

 

   Seterusnya, setelah mempunyai asas yang teguh daripada komponen falsafah, barulah sesuatu dasar dapat digubal dalam bidang pendidikan. Hal ini kerana, dasar merupakan formulasi idea-idea sebagai panduan untuk tindakan. Pelaksanaan sesuatu dasar ini membabitkan persoalan perundangan dan penggubalan yang baru. Sebagai contoh, Dasar Pendidikan Percuma (DPP) yang terdapat dalam pendidikan bidang pendidikan di Malaysia yang telah dlilhat dapat memberi pendidikan percuma kepada semua rakyat Malaysia tidak kira latar belakangnya.

 

   Berikutnya, apabila sesuatu dasar telah ditubuhkan dan termaktub dalam undang-undang, maka sistem pula didirikan bagi melaksanakan dasar dan falsafah tersebut dan bagi mencapai sesuatu matlamat dan tujuan sistem itu diadakan. Hal ini kerana, sesuatu sistem itu mempunyai komponen-komponen yang rumit dan kompleks. Pelaksanaan sistem yang berjaya apabila semua komponen salaing bergabung dan menyokong antara satu sama lain seperti sistem pendidikan peringkat pra -sekolah, peringkat rendah, peringkat menengah dan peringkat pendidikan khas.

 

     Oleh itu, berdasarkan huraian di atas dapat disimpulkan di sini bahawa komponen falsafah, dasar, sistem pendidikan ini walaupun dilihat secara yang berbeza dengan fungsinya yang berbeza antara satu sama lain, namun hakikat pelaksanaannya adalah satu. Ketiga -tiganya saling berhubungkait dengan rapat untuk mencapai matlamat yang dihasratnya, terutamanya dalam konteks pendidikan ini adalah untuk mencapai matlamat pendidikan negara ini ke arah yang lebih maju pada masa akan datang.        

 

 

Disediakan Oleh : Ahmad Syahir Bin Kamarul Bahrin (D20202096855)